SUNAT BERPUASA ENAM HARI DI BULAN SYAWAL
Antara tuntutan di bulan Syawal adalah berpuasa enam hari sebagai menambah nilai puasa wajib di bulan Ramadan.
Menurut pendapat di dalam mazhab Syafie, lebih afdhal dilakukan selepas hari raya pertama dan enam hari berturut-turut.
Namun begitu jika dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal tidaklah dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga. InsyaAllah mari kita ambil kesempatan ini.
Tahniah buat sahabat-sahabat yang akan mula berpuasa enam Syawal esok hari.
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
Maksudnya:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Riwayat Muslim]
Huraian Hadith :
- Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajukan berterusan, walaupun sedikit.
- Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal maka pahalanya sama dengan puasa setahun. Hal ini di sebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan bersamaan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian di campur dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.
- Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi di bolehkan berpuasa berselang seli selama dalam tempoh bulan Syawal.