Quantcast
Channel: REENA SIDEK
Viewing all articles
Browse latest Browse all 802

Zinnirah Sri Kandi Islam Yang Buta

$
0
0

Zinnirah Sri Kandi Islam Yang Buta


Selalunya kita mendengar kisah sri kandi islam seperti Sumayyah, Aisyah, Fatimah, Khadijah. Tapi kali pertama aku tahu tentang Zinnirah ni adalah dari lagu UNIC. Dengar nyanyian UNIC ni tentang kisah hidup Zinnirah ni je mampu menimbulkan perasaan sayu dalam diri aku. Tentang kuatnya hati Zinnirah mempertahankan iman dan kepercayaannya kepada agama Islam dan kasihnya Zinnirah kepada Allah, walaupun di siksa dengan maha dasyatnya.. Jum kita baca tentang perjalanan hidup Zinnirah ini..

ZINNIRAH adalah wanita Rom yang ditawan dan dibawa ke kota Mekah bagi dijual sebagai hamba. Ada beberapa wanita dan lelaki berdiri di samping Zinnirah ketika dilelong kepada bangsawan Quraisy.

Mereka mengerumuni kawasan jualan hamba bagi mencari lelaki dan wanita yang terbaik bagi dijadikan hamba di rumah mereka.

"Wanita Rom ini kuat dan boleh melakukan apa sahaja pekerjaan di rumah tuan. Lihat badannya yang tegap dan tinggi," penjual hamba cuba memancing pembeli dengan kata-kata positif mengenai diri Zinnirah.

"Jual dia kepada saya. Ini wangnya!" tiba-tiba Umar al-Khattab bersuara, lalu menyerahkan sejumlah wang kepada penjual hamba.

"Ikut saya!" perintah Umar al-Khattab kepada Zinnirah yang sudah dibukakan ikatan tangan dan kakinya.

"Baik tuan," balas Zinnirah lalu mengekori Umar al-Khattab balik ke rumahnya.

Setiap hari, Zinnirah melakukan pekerjaan di rumah tuannya dengan tekun dan rajin. Oleh kerana ajaran agama Islam menyatakan semua manusia itu setaraf, beberapa orang hamba memeluk agama Islam.

Zinnirah menerima ajaran Islam dengan sepenuh hati. Beliau melakukan kewajipan sebagai seorang Islam ketika Umar al-Khattab berada di luar rumah dan ketika tuannya tidur pada waktu malam.

Umar al-Khattab terkenal sebagai seorang yang benci kepada Islam sebelum dia memeluk agama Islam. Dia akan menghukum sesiapa sahaja yang memeluk Islam dengan harapan mereka meninggalkan agama Islam.

Zinnirah tahu tuannya akan menghukumnya sekiranya rahsianya terbongkar. Walaupun Zinnirah kelihatan lembut daripada segi penampilannya, tetapi jiwanya tabah. Beliau sanggup menghadapi apa sahaja hukuman yang diberikan oleh Umar al-Khattab sekiranya rahsianya terbongkar.

"Tahukah kamu bahawa Zinnirah sudah memeluk Islam secara sembunyi?" kata salah seorang bangsawan Quraisy kepada Umar al-Khattab yang sedang berjalan pulang ke arah rumahnya.

"Apa?" Hamba saya sudah memeluk Islam? Saya akan pastikan dia mendapat hukuman yang setimpal sehingga dia kembali ke agama kita!" Umar al-Khattab marah mendengar kata-kata bangsawan Quraisy itu.

Umar al-Khattab berjalan pantas dengan hati yang marah. Dia menolak daun pintunya dengan kasar sehingga kedengaran bunyi kuat pintu itu apabila menghentam dinding rumahnya. Dia mencari Zinnirah yang kelihatan sedang berdoa di dalam biliknya.

"Saya memang sudah syak kamu sudah memeluk Islam kerana ada perubahan dalam diri kamu sejak kebelakangan ini," Umar al-Khattab terus menengking Zinnirah dengan suara yang kasar.

"Berani kamu memeluk agama Islam walaupun tahu hukuman berat menanti kamu!" Umar al-Khattab memukul badan Zinnirah dengan dua belah tangannya sehingga Zinnirah rebah menyembah tanah.

"Tinggalkan agama Islam jika kamu mahu hidup lagi!" Umar al-Khattab terus menyeksa Zinnirah supaya meninggalkan agama Islam.

"Allah! Allah! Allah!" jawab Zinirah dalam kesakitan.

Api kemarahan Umar al-Khattab memuncak apabila mendengar jawapan Zinnirah. Matanya merah. Dia mengambil tali cemeti dan meneruskan seksaan ke atas Zinnirah.

Dia menyebat badan Zinnirah berulang-kali tanpa perasaan belas kasihan sehingga pakaiannya dibasahi darah. Akhirnya, Umar al-Khattab menghentikan seksaannya apabila Zinnirah jatuh pengsan.

Apabila Zinnirah tersedar daripada pengsan, hukuman yang sama diulangi ke atasnya. Hati Umar al-Khattab tidak puasa selagi Zinnirah tidak kembali ke agama nenek moyangnya. Walaupun pelbagai seksaan dikenakan ke atas Zinnirah, hatinya semakin tabah menghadapinya kerana cintanya yang menalam pada agama Islam dan Allah.

"Ini sahaja cara bagi memaksa kamu meninggalkan agama Islam!" ugur Umar al-Khattab yang mula mengikat tangan Zinnirah menariknya ke padang pasir pada suatu pagi.

"Kamu akan dijemur di sini sehingga kamu meninggalkan agama Islam!" sambung Umar al-Khattab yang mengikat badan Zinnirah pada bongkah batu yang dibakar oleh panas matahari yang terik.

Keperitan dan bahang matahari yang membakar tubuh Zinirah tidak meruntuhkan imannya kepada Allah. Tubuhnya semakin lemah kerana menahan kesakitan tetapi hatinya masih yakin Allah sahaja yang dapat membantunya.

"Allah! Allah! Allah!" mulut Zinnirah tidak berhenti-henti menyebut nama Allah sebagai penawar segala keperitan yang sedang dialaminya.

"Kamu masih mahu berpegang pada agama Islam?" tanya Umar al-Khattab yang memegang dua batang besi panas di hadapan muka Zinnirah.

Mendengar jawapan Zinnirah, Umar terus mencucuk mata Zinnirah dengan besi panas. "Allah! Allah! Allah!" mulut Zinnirah tidak menjawab soalan Umar al-Khattab.

Kini mata Zinnirah sudah buta dan dunia sekitarnya menjadi gelap. Mulutnya masih kumat kamit mengungkap nama Allah walaupun kesakitan akibat cucukan besi panas itu masih terasa. Umar al-Khattab mengundang beberapa orang bangsawan Quraisy bagi melihat keadaan Zinnirah yang masih mempertahankan agama Islam walaupun badanya sudah terkulai tidak bermaya dan buta matanya.

"Hanya Allah sahaja yang dapat membuat mata saya melihat kembali kerana Allah adalah pencipta semua makhluk." Zinnirah cuba menyedarkan Umar al-Khattab dan bangsawan Quraisy tentang kuasa Allah.

Kata-kata Zinnirah membuatkan api kemarahan Umar al-Khattab semakin meledak lalu disebat Zinnirah bertubi-tubi. Berdesing bunyi cemeti memecah udara padang pasir. Mulut Zinnirah hanya mengucapkan "Allah! Allah! Allah" tanpa henti menahan kesakitan akibat sebatan tali cemeti yang singgah ke atas badannya.

"Kamu akan hidup sengsara kerana tidak dapat melihat lagi. Puas hati aku sekarang," kata Umar al-Khattab. Dia mengajak bangsawan Quraisy meninggalkan Zinnirah yang terbaring tidak bermaya dengan pakaiannya dibasahi darah.

Kisah seksaan Zinnirah akhirnya sampai ke pengetahuan Abu Bakar as-Siddiq dan beliau bergegas ke tempat Zinnirah diseksa untuk membelinya dari Umar al-Khattab.

Dia menyerahkan sejumlah wang bagi menebus dan menyelamatkan Zinnirah daripada tangan Umar al-Khattab. Maka terlepaslah Zinnirah daripada seksaan musuh Islam dan dia hidup gembira bersama tuan barunya yang beragama Islam. Zinnirah yang teguh dan yakin dengan keimanan kepada Allah dapat melihat kembali dengan izin Allah tidak lama selepas kejadian itu.

Kredit: Utusan Melayu




Viewing all articles
Browse latest Browse all 802